𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑 – Mesyuarat Jawatankuasa Doktrin Tentera Darat (JKDTD) Ke-102 telah dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad pada 17 Jul 26 bertempat di Bilik Mesyuarat Seroja, Wisma Transit Kuala Lumpur.

Mesyuarat ini diadakan sebagai platform bagi membincangkan hala tuju pembangunan doktrin Tentera Darat Malaysia serta memperkukuh usaha pemantapan doktrin sebagai asas kepada pembinaan keupayaan angkatan yang profesional, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran operasi masa hadapan.

Dalam ucapan beliau, Timbalan Panglima Tentera Darat menegaskan bahawa setiap peringkat pemerintahan hendaklah memberi penekanan terhadap pembudayaan amalan membaca, memahami dan menghayati doktrin agar ia dapat diaplikasikan secara berkesan oleh seluruh warga di bawah pemerintahan masing-masing. Beliau turut mengingatkan bahawa doktrin tidak seharusnya dijadikan rujukan hanya ketika menghadiri kursus, sebaliknya perlu diamalkan secara berterusan dalam pelaksanaan tugas dan operasi harian. Beliau turut menyeru agar semua pemerintahan menguatkuasakan pengarahan kepada pasukan di bawah naungan masing-masing untuk melaksanakan Hari Pengajian dengan menjadikan doktrin sebagai sumber semakan dan rujukan utama. Usaha ini diyakini mampu menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga Tentera Darat, sekali gus merealisasikan aspirasi "Knowledgeable Army" dan "Thinking Soldier" sebagai teras kepada kecemerlangan organisasi.

Mesyuarat JKDTD Ke-102 turut memperakui empat buah manual yang ditaja oleh 10 Briged (Para), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Markas Tentera Darat (MKTD-G5) sebagai rujukan rasmi mengikut bidang kepakaran masing-masing. Selain itu, mesyuarat turut mendengar pembentangan mengenai perkembangan pembangunan Keystone Doctrine yang berteraskan Fungsi Staf serta Fungsi-Fungsi Perang melalui pelaksanaan 1 Manual Cornerstone dan 9 Manual Keystone oleh Tim Penulisan Manual Tentera Darat. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hierarki doktrin Tentera Darat Malaysia melalui penyediaan doktrin yang lebih tersusun, komprehensif dan selaras dengan keperluan operasi semasa serta cabaran peperangan masa hadapan. Pembangunan manual-manual tersebut dijangka menjadi rujukan utama dalam aspek latihan, pendidikan, pembangunan keupayaan dan pelaksanaan operasi di semua peringkat pemerintahan Tentera Darat.

Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid, Ketua Staf Am PMBTD, Mejar Jeneral Dato’ Norsham bin Md Tap, Ketua Staf Am PMTTD, Mejar Jeneral Dato’ Ts. Riezal Arif bin Tan Sri Ismail dan Ahli Tetap JKDTD serta Tim Penulisan Manual-Manual Tentera Darat.

– Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat